-->
Noraina Maliha Ahmad

Wednesday, 24 October 2012

Guru oh Guru

Keadaan di kolej mahupun di kampus pada hari ini sudah mulai lenggang, sudah tidak ramai orang yang berada di kampus, kebanyakannya sudah pulang ke kampung halaman masing- masing. Minggu terakhir sebelum semuanya pulang ke kampung untuk meraikan perayaan Hari Raya Aidiladha. Memang seronok apabila bergelar pelajar U ni, banyak cuti yang dapat. Almaklum la, bakal guru...hehehe...dah boleh belajar la nak aplikasi cuti sekolah nanti bila dah jadi guru sebenar.

Raya- raya jugak, tapi buah tangan dari pensyarah tetap ada. Adatlah tu bila dah jadi pelajar. Persoalannya di sini, relevan atau tidak apabila sesetengah pihak mengatakan lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris ini tidak berkualiti, jika hendak dibandingkan dengan lepasan Insititut Perguruan yang lebih terlatih berbanding kami di sini. Bagi saya, sama sahaja antara lepasan IPG dan lepasan UPSI, kedua- duanya mempunyai kelebihan masing- masing. Berada di bawah naungan yang sama, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia, tidak ada bezanya. Saya teringat akan kata- kata yang selalu diungkapkan oleh salah seorang pensyarah saya yang mengatakan para pengetua sekolah sangat takut untuk mengambil pelajar UPSI untuk datang membuat praktikal di sekolah mereka. Mengapakah wujud persepsi sebegitu? Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Akibat daripada perbuatan salah seorang pelajar di sini yang membuat hal ketika menjalani praktikum, terpalit semua pelajar di sini. 

Sebagai seorang bakal guru, saya seharusnya mempersiapkan diri saya agar lebih bersedia untuk menempuh alam sebenar sebagai seorang guru kelak. Jangankan disebabkan sesetengah orang anti dengan pelajar Upsi, kita mudah mengalah. Seorang guru itu bukan sahaja bertanggungjawab sebagai seorang pendidik, malahan pembina anak bangsa. 


Posted by Unknown at 00:34 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 23 October 2012

Tidak wajar mendirikan masjid kerana berbeza fahaman


Masjid itu ‘rumah Allah’ iaitu tempat umat Islam melakukan ibadah terutamanya solat berjemaah, menyembah Tuhan yang Maha Esa. Masjid juga menjadi lambang kesatuan umat Islam.

Walaupun umat Islam telah terbahagi kepada berbagai aliran, berbagai mazhab dan berbagai fahaman politik tetapi mereka sepatutnya boleh dan tidak tersekat untuk bersembahyang di mana-mana masjid di muka bumi ini.
Bukan sahaja kita tidak wajar mendirikan masjid untuk kumpulan kita sendiri kerana berbeza fahaman dengan orang lain, malah kita juga tidak wajar menunaikan solat berjemaah yang berasingan mengikut aliran fahaman masing-masing di dalam masjid yang sama.

Di Negara kita Malaysia memang pernah berlaku di mana masjid didirikan kerana mengasingkan pengikut-pengikut mereka yang berbeza fahaman. Begitu juga pernah berlaku sembahyang dua imam di dalam satu masjid kerana berbeza fahaman politik.
Terdapat pemimpin-pemimpin aliran agama yang terlalu mengutamakan idealistik, menjadikan mereka taksub hingga kabur untuk melihat keutamaan dalam Islam itu sendiri. Kadang-kadang kerana mempertahankan soal cabang yang kecil mereka sanggup mengorbankan kepentingan yang lebih besar.
Sebagai contoh, ada pemimpin aliran agama ini yang faham, perkara niat dalam ibadah tidak perlu dilafazkan, kepada mereka, melafazkan niat adalah bidaah. Oleh kerana mereka tidak bersetuju dengan masyarakat ramai yang mengamalkan lafaz niat maka mereka telah mendirikan sembahyang Jumaat untuk kumpulan mereka yang berasingan dari masjid orang awam.

Pemimpin agama seperti ini lupa tentang kepentingan yang lebih besar dalam Islam. Tindakan yang mereka lakukan itu sebenarnya hanya akan merugikan agama dan umat Islam. Konsep agama ialah nasihat, berdakwah kepada manusia kepada kebaikan, itulah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad. Mengasingkan diri hanya akan menjauhkan manusia dari kita, akhirnya dakwah kita tidak sampai kepada sasaran.

Memang betul, niat tidak perlu dilafazkan, dan saya akui pendapat pemimpin aliran agama itu memang betul. Tetapi dalam menegakkan pendirian kita walaupun betul, tidak harus mengambil tindakan hingga sampai mendirikan sembahyang Jumaat berasingan, kerana ini akan menyebabkan lebih banyak kerosakan dan kerugian kepada agama dan masyarakat umat Islam. Samalah seperti kita hendak membunuh seekor nyamuk menggunakan bom atom.

Adalah lebih sesuai kalau kita menggunakan pendekatan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, dalam mengubah pemikiran masyarakat. Beliau banyak menggunakan hujah dan nas dalam mendidik dan menangani berbagai isu. Beliau tidak membentuk kumpulannya sendiri, semua umat Islam adalah kumpulannya. Sebenarnya inilah cara yang betul, matalamat kita ialah hendak membetulkan pemikiran semua umat Islam, bukan hendak mewujudkan kumpulan baru.

Jangan sekali mengasingkan diri kita dari kelompok ramai, kerana ini hanya akan menambah rasa curiga orang ramai kepada kita, semakin jauhlah kita dari mereka.
Tidak dinafikan selain dari Dr. Mohd Asri, ramai juga usataz-ustaz yang berceramah di masjid yang telah membawa nilai-nilai dan hujah-hujah baru yang cuba memadamkan amalan-amalan lama yang tidak tepat yang telah sebati dalam masyarakat. Dengan kredibiliti yang mereka miliki dan kebijaksanaan dalam menyampaikan hujah dan nas, ustaz-ustaz ini telah dapat mempengaruhi masyarakat untuk berubah.

Sebenarnya inilah cara yang paling berkesan untuk mengubah masyarakat atau umat Islam, masyarakat perlu didekati bukan dijauhi. Kita kena masuk ke dalam masyarakat itu sendiri bukan mengasingkan diri kita dari mereka.
Posted by Unknown at 19:07 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saya Anak Malaysia

Saya bangga menjadi anak Malaysia. Mengapa? Menjadi warganegara Malaysia ini banyak kelebihannya. Mendapat status kerakyatan yang sah, bebas bergerak ke mana sahaja tanpa disekat, keselamatan diri terjamin dan banyak mendapat faedah daripada kerajaan. 

Tak lama akan diadakan pilihan raya, biasalah sebelum pilihanraya akan ada lah pembentangan bajet, manifesto- manifesto yang menjanjikan faedah yang lumayan kepada masyarakat. Di sini, apa yang saya lihat misalnya pembentangan bajet, individu yang paling beruntung ialah golongan penjawat awam, pelajar dan pesara kerajaan. Golongan- golongan ini akan mendapat insentif yang lumayan daripada kerajaan.

Orang luar kebanyakannya berasa bangga akan rakyat Malaysia yang kehidupannya lebih terjamin semasa berada di dalam negara sendiri sedangkan orang luar sempat merasai keperitan hidup akibat diancam oleh pengganas yang tidak berperikemanusiaan yang telah mengakibatkan pertumpahan darah dan kematian. 

Namun begitu, ada juga rakyat Malaysia yang tidak berbangga dengan  negara tumpah air sendiri sehinggakan sanggup menghina lagu kebangsaan Malaysia, iaitu lagu Negaraku. Situasi ini menunjukkan apa guna  memegang kerakyatan Malaysia jikalau sanggup melakukan sedemikian rupa terhadap negara sendiri.  Orang macam ini pada pendapat saya, bukan sahaja tak bersyukur, malahan boleh dibuang negara akibat perbuatan yang keterlaluan itu.

Oleh itu, walau apa jua anasir luar yang mendatang, saya tetap setia akan tanah air saya yang tercinta dan akan memberikan komitmen yang jitu serta tidak akan mengkhianati negara sendiri.


Posted by Unknown at 18:44 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Pro dan Kontra

Laman sosial seperti facebook, twitter, blog menjadi salah satu medan yang boleh memberikan kita kebaikan dan juga keburukan. Rangkaian sosial ini boleh menjadi tempat untuk berkongsi maklumat, menyampaikan sesuatu ke arah kebaikan dan juga boleh menjadi tempat pertempuran kata- kata kesat apabila tak puas hati dengan orang lain. Kata- kata nista, keji akan dilemparkan antara satu sama lain yang boleh mengundang bermacam- macam unsur yang tak sihat pada laman sosial ini.

Pro laman sosial ini adalah ianya satu laman yang  boleh mengeratkan silaturahim, menjadi tempat perkongsian ilmu dan sebagainya. Kontranya, macam entri kat bawah ini.  Bagaimanapun, di sebalik keghairahan segala macam kelebihan pada ruang maya, pelbagai jenayah dan masalah sosial juga dilaporkan meningkat ekoran ketiadaan kawalan dalam melayari laman sesawang, sekali gus menyumbang kepada keruntuhan akhlak individu dan institusi rumah tangga.

Penggunaan laman sesawang sosial oleh remaja khususnya Facebook perlu dipantau ibu bapa kerana manfaatnya boleh bertukar kepada keburukan sekiranya ia tidak difahami dan digunakan secara betul. Tidak dapat dinafikan, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet kerana sebarang cubaab akan membawa kesan lebih negatif sehingga berlakunya pelbagai salah laku moral dan etika dalam kalangan remaja yang akan dibawa dalam kehidupan di alam nyata. 

pix_gal0








Posted by Unknown at 01:15 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Hulurkan Tangan Ringankan Hati..

Beberapa hari lalu saya telah pergi ke Taman Melawati bersama rakan untuk menghadiri satu perjumpaan. Tetapi apa yang saya hendak perkatakan dalam entri saya ialah situasi sewaktu dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman. Selepas menjamu selera di McDonald, saya tersentuh hati apabila melihat seorang mak cik yang boleh dikatakan sudah berusia duduk di pejalan kaki bersebelahan kedai 7eleven. Mak cik itu menjual barang makanan kering dan hanya duduk di laluan itu sambil menunggu dan mengharap agar orang yang lalu lalang itu untuk membeli barang makanan itu. 

Apa yang terlintas di fikiran saya ketika itu, bagaimanakah sekiranya mak cik itu adalah saudara mara, atau ibu saya sendiri? AllahuRabbi. Sedih rasanya apabila melihat mak cik itu yang mencari rezeki sesuap nasi. Apa yang saya lihat tidak ada seorang pun ketika itu yang hendak membeli barang mak cik itu. Tiada paksaan untuk membeli, namun pada usia sebegitu, mak cik itu seharusnya berada di rumah bersama anak dan cucu di samping memperlipatgandakan amal ibadat kepada yang Maha Esa. 

Di manakah anak- anak mak cik itu, tatkala ibu mereka sedang mencari rezeki untuk sesuap nasi. Saya berkesempatan bertanya kepada mak cik itu adakah beliau sudah makan atau belum, mak cik itu mengatakan belum makan, sekali lagi saya terharu dengan pengakuan mak cik itu, sedangkan ketika itu sudah lewat petang, namun belum sebutir nasi yang singgah dalam perut mak cik itu. Atas rasa simpati melihat mak cik itu, saya memberi kentang goreng yang dibeli sebentar tadi kepada mak cik itu, sekurang- kurangnya dapatlah mak cik itu mengalas perutnya. Situasi ini juga sering kali kita lihat di pasar malam, bank di mana anak-anak yatim, ibu tunggal menadah tangan untuk mendapatkan sesuatu daripada orang yang lalu.

Mata yang memandang hanya mampu melihat, namun beban yang dipikul tidak seindah yang disangka. 





Posted by Unknown at 00:39 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 19 October 2012

Meriahnya KAB!

Dua minggu lepas telah berlangsung Karnival Keindahan Islam di Kolej Za'ba, minggu ini pula telah berlangsungnya program Meriahnya Kab! di Kolej Aminuddin Baki. Kalau karnival keindahan Islam dulu, tak ramai sangat yang datang sebab artis yang datang terdiri daripada kumpulan nasyid. Bilangan pengunjung yang datang pun sangatlah ketara bilangannya. 

Berbanding dengan jika aktiviti yang dijalankan itu, artis- artis yang datang itu artis yang terkenal yang datang, berbeza sambutan yang diberi. Kebanyakannya lebih tertarik dengan yang tidak membosankan dan lebih menyeronokkan berbanding dengan yang biasa- biasa sahaja. 
Posted by Unknown at 21:54 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Lelaki vs Perempuan

Selepas kelas silat tadi, saya dan rakan saya pergi ke kedai Teko Emas untuk menjamu selera. Sambil menjamu selera saya melihat pada skrin layar televisyen itu dan saya tertarik dengan satu iklan yang dipaparkan mengenai seorang penjawat awam yang enggan menjawab panggilan telefon di mejanya dan membiarkan sahaja telefon itu berdering. Rakan sepejabatnya hanya menggeleng sahaja melihat tingkah laku rakannya lalu mengangkat panggilan telefon itu.

Pada hari kedua, aksi yang sama jugak dipamerkan oleh si lelaki itu, namun pada kali ini lelaki itu mengangkat panggilan itu dengan begitu ramah mesranya. Kesimpulannya di sini, tak menyusahkan pun sekiranya si lelaki itu menjawab panggilan kerana budi bahasa itu budaya kita. Janganlah sombong sangat dan membiarkan si pemanggil tertunggu- tunggu untuk dijawab panggilannya. 

Banyak lagi iklan yang dipaparkan di kaca televisyen yang boleh dijadikan tauladan kepada kita khususnya golongan muda yang mungkin sudah melupakan kesedaran tanggungjawab bersama seperti iklan yang mana apa sahaja gerak laku kita, sama ada di atas jalan raya, di taman permainan, waima di rumah sendiri akan diperhati oleh orang sekeliling dan jika tidak menepati nilai- nilai murni bersama, akan dirakam dan dimuatkan di dalam You Tube. 


Posted by Unknown at 21:25 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 16 October 2012

Senyum oh Senyum

Berbudi bahasa itu adalah suatu subjek yang umum dan tidak akan menjadi satu isu perkauman dan tidak terbatas sensitivitinya. Entri saya pada kali ini ialah saya ingin menyentuh mengenai cara salah seorang peniaga di kedai kampus. Memang tak dinafikan kedai itu sangat lah laris dengan jumlah pembeli yang ramai datang di kedainya. 

Namun begitu kelemahan pada pekedai itu ialah dia susah sangat nk senyum. Bukan setiap masa nak kena senyum, tetapi senyum sewaktu pelanggan datang nak beli. Tak sampai sejam pun nak senyum. Persepsi pertama apabila saya menjejakkan kaki di situ, saya berkata" sombongnya", kita nak beli barang pun buat ya tak ya ja dengan kita. Alahai, macam ni ke nak berniaga? 
Posted by Unknown at 21:42 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Bahasa Melambangkan Jiwa Bangsa

Bulan Oktober ialah bulan bahasa kebangsaan. Oleh itu, Upsi juga tak terkecuali meraikannya. Persidangan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Pelancaran Bulan Bahasa telah diadakan di Dewan SITC. Saya melihat persidangan ini adalah salah suatu usaha yang murni dalam usaha mengangkat bahasa Melayu ke darjat yang lebih tinggi. Sebelum ini ramai orang mengagung- agungkan bahasa Inggeris, bahasa luar juga yang disanjung-sanjung sedangkan bahasa ibunda sendiri dianaktirikan. 

Dengan adanya inisiatif seperti ini, ianya dapat membuka mata orang yang memandang rendah akan kemampuan bahasa Melayu. Ingat teruk sangat  ke cakap guna bahasa Melayu ini? Tokoh- tokoh yang berjaya dulu, kini dan selamanya guna bahasa apa sebagai bahasa perantaraan mereka sehingga mereka berjaya di mata dunia? kalau tak bahasa Melayu.

Berbalik kepada persidangan yang berlangsung di sini selama dua hari, saya lihat pembentang- pembentang yang membentang prosiding terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dalam bidang bahasa Melayu. Tabik springlah! Saya tertarik dengan salah seorang pembentang dari IPG yang mengenegahkan unsur humor sebagai medium pengajaran. Kaedah yang digunakan oleh beliau sangat berkesan dan boleh dikatakan proses P&P berjalan dalam suasana yang ceria dan menyeronokkan. Kaedah yang digunakan ini boleh diaplikasikan oleh saya sebagai bakal guru kelak untuk menarik perhatian para pelajar untuk lebih menumpukan perhatian terhadap proses P&P. 

Selain itu, aplikasi penggunaan perisian multimedia juga sangat berguna untuk dijadikan Bahan Membantu Mengajar di dalam kelas.  Zaman globalisasi yang canggih ini semuanya menggunakan perisian multimedia sebagai perantara dan tidak hanya tertumpu kepada buku teks sahaja. 

Jika kita tidak memartabatkan bahasa Melayu, siapa lagi yang hendak memartabatkannya? 


  
Posted by Unknown at 10:40 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 14 October 2012

Alahai sopannya...

Pengalaman ini saya rasa sewaktu saya dan rakan pergi ke Pizza Hut pada hari ini.  Setelah penat 'berbengkel' di Bengkel Montaj dan Fotografi anjuran Kelab fasilitator Bitara, hajat di hati hendak  pergi bersuka ria sekejap. Setibanya kami di Pizza Hut, saya bertanya kepada krew di situ berkenaan dengan penebusan baucar, bertanya dengan cara yang agak boleh dikatakan berbudi bahasa, namun begitu respon yang diberi oleh krew itu tidak seperti yang saya jangkakan. Bukan sahaja tidak melemparkan senyuman, jawapan yang diberi pun seperti acuh tak acuh sahaja. Kami datang bukan nak meminta sedekah cuma bertanya. ' Malu bertanya sesat jalan'. 

Apa yang saya kesalkan, cara layanan krew itu. Bukan nak merendahkan kerja pekerja itu, tak salah pun kalau dia tak berperilaku seperti itu. Mungkin hari ini kali terakhir saya dan rakan pergi ke situ dengan cara layanan pekerja di situ. Ditambah pula dengan servis perkhidmatan yang boleh dikatakan agak lambat, sangat mengecewakan. Tagline 'customer always right' yang selalu orang cakap tak sama dengan cara perkhidmatan yang kami dapat pada hari ini.





Posted by Unknown at 07:41 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 12 October 2012

Alahai mesranya!

Selepas kelas pada hari ini, saya bersama rakan saya telah pergi ke kedai makan untuk menjamu makan. Situasi dalam kedai itu agak sibuk dengan pengunjung yang datang untuk menjamu selera. Namun begitu, bukan ini yang hendak saya perkatakan dalam entri saya pada kali ini. Gelagat pasangan ini yang menarik perhatian saya. Sedang orang lain sibuk menikmati hidangan, pasangan ini tanpa segan silu mempamerkan kemesraan mereka di khalayak orang ramai. Si dara tanpa segan silu menyuap si teruna. Wahhhh mesranya!. 

Tiada halangan untuk kita menikmati alam remaja, dewasa dengan mengukir sebuah perhubungan hati antara si dara dan si teruna. Namun pada pendapat saya, tidak manis sekiranya aksi itu dipamerkan di khalayak ramai. Nilai- nilai ketimuran orang Melayu seharusnya dikekalkan dengan menjaga adab seorang perempuan yang penuh dengan ketimuran dan kesopanannya. 
Posted by Unknown at 01:36 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 11 October 2012

Oh Memo!

PROGRAM BUKU KEGEMARAN SAYA 
Dijemput kepada semua pelajar dan staf Upsi untuk hadir ke PROGRAM BUKU KEGEMARAN SAYA....
Kehadiran anda amat dihargari dan ribuan terima kasih...


Memo ini saya baca pada portal pada malam ini. Tajuk memang best "Program Buku Kegemaran Saya", tapi yang menjadi kecacatan pada memo ini ialah pada ayat "Kehadiran anda amat dihargari dan ribuan terima kasih". "Dihargari", mungkin kesilapan semasa menaip memo ini, namun begitu jika boleh dikurangkan kesalahan itu dengan meneliti sebelum meuar-uarkan berita ini. 

# Kurangkan kontroversi tingkatkan prestasi #
Posted by Unknown at 06:24 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 10 October 2012

Betul ke Salah?

Semasa melalui bilik- bilik pensyarah di aras bawah di E.Learning, saya melihat papan tanda di sebuah bilik. Bilik itu diletakkan label ' bilik setor'. Timbul kehairanan pada diri saya pada mulanya, 'setor ke stor? Yang saya tahu cuma 'stor 'sahaja yang sering kali kita gunakan.  Menurut Kamus Dewan  Edisi Keempat, 'stor' merujuk kepada rumah, ruang, bilik dan sebagainya, iaitu tempat menyimpan barang.  Ejaan yang betul ialah 'stor' dan bukannya 'setor'.


Posted by Unknown at 22:50 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Terima Kasih!

Entri saya pada kali ini adalah menyentuh berkenaan ungkapan ‘terima kasih’. Tidak kira usia muda atau tua, jika seseorang itu melakukan sesuatu untuk kebaikan kita, tidak salah dan rugi sekiranya ungkapan ini diucapkan.


Situasi yang saya lihat semasa pergi dan pulang ke kelas semasa menaiki bas membuatkan saya terfikir seketika. Tinggi sangat kedudukan kita ini walaupun kita boleh dikatakan golongan yang berpendidikan tinggi, namun jika budi bahasanya kurang, tak ke mana juga. Rata- rata yang menaiki bas susah sangat nak ucap terima kasih sewaktu turun dari bas. Bukan ambil masa berjam- jam nak cakap ‘terima kasih’.


Cubalah kita bayangkan kita berada dalam situasi sebagai pemandu bas, mungkin kita tak akan mengharapkan balasan apa- apa setelah kita berkhidmat kepada penumpang, namun dengan ‘terima kasih’, segala penat lelah sewaktu memandu akan  kurang sekiranya mendengar kata- kata yang menghargai usaha kita. Ungkapan ‘terima kasih’ ini saya masih amalkan sejak dari semester 1 lagi apabila kakak dan abang Sekteriat Minggu Suai Kenal yang sering kali mengingatkan kami semua agar berterima kasih kepada pemandu- pemandu yang telah menghantar dan mengambil kami pulang ke kolej kediaman. Tidak kira la pemandu itu berbangsa apa sekalipun, ucapkanlah ‘terima kasih’. Jika kita berbudi bahasa dengan orang lain, benda yang sama juga kita akan terima semula.


# Terima Kasih! #

Posted by Unknown at 22:36 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 7 October 2012

Sahabat, teman, kawan ~~~

Perkenalan yang terjalin antara kami sejak sekian lama banyak menyingkap 1001 makna dalam kehidupan. Bermula dari bangku sekolah, saya yang masih kebudak- budakan sangatlah mengharapkan hadirnya seorang kawan, sahabat, teman ketika itu. Tatkala kaki melangkah ke alam persekolahan, perasaan bercampur baur ketika itu, sedih, gembira dan teruja untuk mengenali ramai kawan di sekolah. 

Mohamad Shahir bin Suhimi. Kawan lelaki yang paling rapat dengan saya. Perkenalan sejak dari tingkatan satu yang pada mulanya hanyalah atas dasar seorang kawan biasa telah bertukar menjadi seorang kawan yang boleh berkongsi susah dan senang. Karakternya jika orang tak kenal, memang orang akan cakap, "poyonya mamat ni', kerana perwatakannya yang gila- gila dan kadang- kadang tutur katanya boleh menyakitkan hati orang yang mendengar. Dengan caranya yang begitu, orang lain tak berapa gemar nak bercakap dengan dia. Tapi bagi saya, Shahir ialah seorang sahabat yang bukan sahaja banyak memberikan tunjuk ajar dari segi pelajaran, tapi dia juga menjadi pendengar setia bagi saya. Setelah tamatnya tingkatan lima, dia melanjutkan pengajian ke Politeknik, saya pula menjadi penganggur terhormat sebelum menunggu keputusan memasuki Tingkatan Enam. 2 tahun kami tidak bersua disebabkan faktor jarak dan masa membataskan perhubungan persahabatan kami.

Nor Hafizah  Binti Mat Isa. Si gadis comel ini menjadi peneman saya di kala tawa dan duka serta menjadi sahabat sejati saya sejak di bangku sekolah sehingga kami sama- sama melanjutkan pengajian di UPSI. Si gadis comel ini seorang teman saya yang periang, pandai menghiburkan hati kawan- kawan, dan juga bertindak sebagai pendengar setia. Mempunyai persamaan suka ketawa besar adalah hobi kami berdua. Riuh rendah di dalam kelas apabila kami berdua gelak kuat sehinggakan ada yang menyuruh kami berdua diam. Tapi kalau kami berdua diam, sunyi la kelas..hehehe..Semakin lama, semakin serasi ikatan antara kami berdua. Perasaan gembira apabila mengetahui sama- sama dapat melanjutkan pengajian di tempat yang sama. Walaupun berlainan kos, fakulti dan kolej kediaman, namun perhubungan kami berdua tidak terhenti di situ sahaja. 

Namun, kini kami bertiga masih lagi  menjadi seorang sahabat, teman dan juga kawan. Walau apa pun masalah, dugaan yang kami hadapi kami tetap harungi bersama. Bak kata pepatah, kawan biar beribu, berkasih biar pada yang satu. 
Posted by Unknown at 06:45 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 5 October 2012

Semangatnya!

Selepas kelas silat, semasa saya dan rakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing- masing, kami terlihat satu sepanduk bantahan tentang Seminar Dakwah Islamiah bagi menentang penghinaan Nabi Muhammad S.A.W, dan kebanyakan mahasiswa/I yang lalu lalang di situ akan menandatangani sepanduk itu bagi tujuan menunjukkan tanda sokongan terhadap bantahan itu.

Sebagai mahasiswa, kehidupan tidak hanya menuntut ilmu sebagai persediaan untuk mengajar kelak, namun sebagai seorang yang beragama Islam, tanggungjawab yang dipikul bukan sahaja mengajar kita erti kehidupan sebenar, namun apa sahaja yang berlaku yang boleh menggugat sensitiviti agama kita, kita seharusnya memandang serius hal itu.

Tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa/I ini dalam menyuarakan suara mereka dalam Seminar ini adalah suatu tindakan yang seharusnya dipuji kerana keberanian mereka mempertahankan kesucian agama Islam.
Posted by Unknown at 22:49 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Oppa oh Oppa!


Oppa Gagnam Style! Satu fenomena yang paling hangat pada masa kini, Dah macam 'pisang goreng' pula lakunya trend ini. Apa Oppa Gagnam Style ni? Best sangat ke? Penyanyi kegilaan ramai, Hafiz Hamidun juga telah menyentuh tentang isu ini ketika beliau datang ke Kolej Za'ba semasa Karnival Keindahan Islam berlangsung. Beliau telah mengkaji trend ini berulang kali berikutan merasa hairan apabila melihat jumlah pengikut stail ini mencecah lebih daripada 100 ribu orang. 

Oppa gagnam style ini telah ditubuhkan oleh sekelompok golongan elit di Korea. 'Gagnam Style' ini adalah merujuk kepada bahasa basahan dalam bahasa Korea yang merujuk kepada gaya hidup serba mewah yang dikaitkan dengan daerah Gagnam. Lagu ini berkisar mengenai seorang teman wanita yang tahu bila hendak berkelakuan sopan dan liar. 

Persoalannya di sini, perlu ke kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam mengagungkan karya- karya luar yang secara amnya tidak membawa apa- apa keuntungan pada kita khususnya. Tidak perlu rasanya kita mengangkat kumpulan ini berada pada tahap kegilaan ramai, sedangkan banyak lagi karya- karya yang dihasilkan oleh pengkarya kita yang pada pendapat saya lebih menepati cita rasa dan tidak bersifat mengkhayalkan seperti Gagnam style ini sehinggakan timbul satu budaya yang kurang sihat dalam kalangan anak remaja berikutan terlalu alpa dengan trend ini. 

Satu perkara lagi dalam trend masa kini, golongan remaja lebih tertarik kepada hiburan yang bersifat duniawi dengan berbanding dengan hiburan yang berkonsepkan keislaman. Perbezaan yang ketara ini dapat kita lihat apabila ada majlis bercorak keislaman seperti ceramah agama, forum Perdana dan majlis tilawah Al- Quran, bilangan pengunjungnya sedikit dan tidak seramai dan semeriah acara hiburan yang ditawarkan dengan artis- artis yang hebat yang menarik perhatian ramai golongan untuk melihat.

Konklusinya, tidak perlulah kita terlalu mengagungkan budaya luar, bak kata pepatah, gajah lalu depan mata kita tak nampak, kuman seberang laut itu yang kita nampak sangat. Renung- renungkan!




Posted by Unknown at 22:48 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 3 October 2012

Salah dan Betul...

Hari ini dalam kelas Dr Lanang, banyak isu yang ditekankan oleh Dr kepada kami sebagai warga pendidik. Selain input -input yang berguna diberikan kepada kami, saya tertarik dengan satu cerita yang diceritakan oleh Dr iaitu mengenai pelajar diplomanya yang tidak minat kepada subjek Bahasa Melayu dan menjadikan alasan itu sebagai punca kepada mengapa dia tidak hadir ke kelas Dr. Dr menjelaskan bahawa apa guna menjadi orang berbangsa Melayu jika tidak berminat untuk mempelajarinya. Dan dari nada pertuturan Dr, saya dapat rasakan bahawa timbul sedikit kekesalan di hati Dr, dan sebagai orang yang telah lama berkhidmat di UPSI. 

Minggu kuliah pertama juga beliau pernah memberitahu kami bahawa beliau amat meminati profesion beliau sekarang dan saya boleh lihat semangat yang ada pada Dr adalah jarang dapat kita temui. Pendekatan yang diambil oleh Dr ialah beliau banyak menyarankan kami agar mengambil pendekatan pengajaran yang menarik agar kedatangan kami di sekolah kelak senantiasa ditunggu- tunggu oleh para pelajar.

Di sebaliknya di kelas Dr Norliza, apa yang ditekankan oleh beliau adalah mengenai sensitiviti sistem panggilan. Situasi yang diberikan oleh beliau adalah bagaimana mahasiswa/I UPSI mengendali sistem panggilan diri dalam temuduga. Antara pegawai penemuduga dan pelajar tidak mempunyai apa- apa ikatan, saling tak mengenali antara satu sama lain dan sewajarnya sistem panggilan yang digunakan untuk merujuk kepada diri sendiri ialah “saya” dan bukannya menggunakan nama sendiri. Situasi temuduga adalah bersifat formal dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai percakapan biasa. Dan ini juga merupakan salah satu punca mengapa lepasan graduan yang gagal dalam sesi temuduga.

Di samping itu juga, cara mahasiswa/i memanggil orang yang bekerja di pejabat Fakulti Bahasa. Tidak wajar untuk kita memanggil gelaran “abg” dan “akak” kepada kerani di pejabat tersebut. Sedangkan sebelum ini kita tidak pernah kenal  dan sewajarnya digantikan dengan panggilan “encik” atau “puan”. Bukan itu sahaja, jika kita tidak mengetahui pangkat seseorang juga kita perlu memanggil orang itu dengan gelaran sedemikian, ini adalah untuk mengelakkan kita dilabel sebagai orang yang tidak ada adab apabila bercakap. 

Di samping itu juga, adab dalam penghantaran email. Sesetengah individu yang menghantar email tanpa membuat pengenalan diri, tujuan email dihantar juga dianggap sebagai perbuatan yang kurang beradab kerana ini boleh menimbulkan rasa tidak senang hati daripada pihak penerima. 

Selain itu juga, dengan mengamalkan sistem panggilan yang betul juga dianggap bagaimana orang lain memberikan persepsi pertama terhadap kita. 
Posted by Unknown at 17:43 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 2 October 2012

Di situ letaknya....

Bulan September telah pun melabuhkan tirainya dan Oktober pula menjengah dalam erti kata lain cepat betul masa itu berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar saya kini sudah berada di semester lima. Rasanya macam baru semalam saya menjejakkan kaki di bumi Tanjung Malim ini. 

Persepsi pertama saya setelah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di UPSI dalam bidang Bahasa Melayu. Antara percaya atau tidak tatkala melihat permohonan saya telah diterima. Perasaan ketika itu bercampur baur, ada rasa gembira dan juga rasa sedih sebab kali pertama akan berjauhan dengan ibu dan ayah.  Kini setelah lima semester di UPSI, alhamdulilah dari seorang yang kosong dan tidak yakin dengan laluan yang dipilih, kini sedikit sebanyak tahap keyakinan itu mulai ada walaupun tak banyak. 

Hari ini, sewaktu saya sedang menjaga kaunter pendaftaran Himpunan Anak Kedah, saya tertarik dengan satu situasi. Dalam kesibukan melayan rakan- rakan yang datangnya dari satu negeri, lensa mata saya beralih pada seorang mahasiswi ini. Walaupun tak kenal dan baru pertama kali bersua, benda pertama yang dia lakukan ialah melemparkan senyuman. Dalam entri saya sebelum ini saya ada menulis tentang isu 'senyumlah seindah suria', apa yang saya tertarik pada mahasiswi ini adalah cara beliau memperkenalkan perwatakan beliau untuk lebih senang didekati oleh orang lain. Rasa jemu sewaktu menunggu orang yang lalu lalang untuk datang mendaftar hilang seketika setelah melihat senyuman 'adik' itu. Terdetik di dalam hati saya," kalaulah aku ada adik lelaki, boleh jadi calon adik ini", perkara yang saya hendak perkatakan ialah paras rupa yang cantik tidak menjamin seseorang sekiranya budi bahasa pada dirinya adalah kosong dan juga sebaliknya tidak semestinya rupa yang hodoh tidak akan disukai orang sekiranya budi pekertinya adalah cantik dan elok. 









Posted by Unknown at 06:36 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 30 September 2012

Kenapa Diraja?


Entri saya pada kali ini adalah berkenaan penggunaan kata pada papan tanda.  Sekali imbas, kita tidak akan melihat papan tanda di sepanjang jalan raya tidak mempunyai apa- apa kesilapan. Sekali imbas, papan tanda di atas kelihatan seperti tidak ada kesilapannya, tetapi jika diteliti memang ada kesilapannya. Papan tanda yang dirakamkan Kesilapannya adalah pada penggunaan kata “DiRaja” dalam frasa nama “ Jabatan Kastam DiRaja Malaysia”. Huruf besar yang digunakan dalam ejaan “DiRaja” itu sebenarnya tidak tepat.

Kata tersebut sepatutnya dieja “Diraja”, kerana “Di” pada kata tersebut bukanlah awalan atau kata sendi nama, tetapi merupakan sebahagian daripada kata dasar. Kata “diraja” ialah kata yang digunakan dalam sastera lama, iaitu kependekan daripada kata “adiraja”. Hal ini bermakna, kata tersebut bukanlah berasal daripada kata dasar "raja" yang menerima imbuhan "di" dalam frasa "Jabatan Kastam DiRaja Malaysia". 

Walaupun nampak macam remeh temeh isu ini, namun sebagai warganegara Malaysia, kita seharusnya lebih enteng akan isu ini agar kesilapan yang sama berulang lagi.



Posted by Unknown at 22:57 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 29 September 2012

Pengunaan Bahasa SMS

Bahasa itu adalah cermin kepada bangsa kita. Entri saya pada kali ini adalah berkenaan penggunaan bahasa Melayu dalam Sistem Pesanan Ringkas atau lebih dikenali sebagai SMS. Kadang- kadang kita tak sedar yang kita inilah yang menjadi perosak kepada bahasa kita sendiri. Jaranglah orang nak guna bahasa baku dalam Sistem Pesanan Ringkas ini. Nampak macam terlalu skema. 

Sebagai penutur bahasa Melayu, kita seharusnya bangga untuk menuturkan bahasa ibunda kita itu. Tidak semestinya dalam perbualan seharian kita sahaja kita mempraktikkan bahasa baku bahasa rasmi itu. Antara bahasa singkatan dalam Sistem Pesanan Ringkas ialah: 

i) Bahasa Yahudi digunakan
Penggunaan huruf  'w' di belakang setiap perkataan. Contohnya "je" jadi "jew".

ii) Istilah Matematik digunakan
Contohnya, "dia" disingkatkan menjadi "dy". Istilah ini kita hanya jumpa dalam calculus. 

Kadang- kadang bila dapat mesej daripada orang yang tidak dikenali dan menggunakan bahasa yang kadangkala susah nak faham, kita mestilah tak akan balas. Hal lain pulak yang akan timbul nanti, si pengirim akan memikirkan hal yang si penerima ni sombong nak balas mesej tersebut. Tapi nak balas macamana kalau intipati mesej itu kita pun tak boleh nak faham maksud yang nak disampaikan. Kesimpulannya, sebagai orang yang berbangsa Melayu, kita seharusnya mengagungkan bahasa ibunda kita bukannya menjadi perosak kepada bahasa kita sendiri. 











Posted by Unknown at 03:49 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Encik Abangku Romantik!




 Kahwin? Minta maaflah! Widelia mahu jadi lawyer dan mak andam glamour terlebih dahulu. Berapa ramai pun lelaki yang mama mahu kenalkan, dia tetap tidak akan terima. Dia ada alasannya sendiri. Widelia…apa sebenarnya yang kau mahu?

Situasi daripada sinopsis novel yang saya baca ini adalah sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat kita. Nisbah bilangan lelaki menunjukkan kadar yang amat ketara berbanding dengan bilangan perempuan yang menunjukkan bilangan yang melebihi lelaki. Fenomena ini sememangnya merungsingkan kaum lelaki khususnya.

Widelia, seorang wanita yang mempunyai perwatakan yang tegas dan berpegang pada prinsip hidupnya.  Widelia yang menunjukkan ciri- ciri seorang perempuan yang mempunyai cita-cita serta kemahuan yang tinggi sebelum bergelar seorang isteri sewajarnya dijadikan sebagai role model bagi para gadis kini. Baginya cinta itu akan hadir setelah dia berjaya mendapat apa yang diidamkan olehnya iaitu bergelar seorang peguam dan mak andam yang terkenal. Perwatakan yang ditonjolkan oleh Widelia ialah beliau adalah seorang perempuan yang tegas dan mempunyai prinsip hidup yang begitu tinggi dan tidak akan membiarkan kaum lelaki menguasai hidupnya dengan sewenang- wenangnya.

Haikal, seorang lelaki maskulin yang mempunyai ciri- ciri seorang lelaki yang mempunyai paras rupa yang menarik, berkerjaya tetap namun begitu tetap memegang prinsip ketimuran yang tinggi. Baginya,  seorang wanita yang halal di sisi agama hanyalah seorang wanita yang bergelar isteri. 

Kaum wanita pada zaman sekarang bukan sahaja ditakdirkan untuk menjadi suri rumah sahaja. Persepsi yang mengandaikan bahawa setinggi mana pun seseorang individu perempuan itu belajar atau memegang jawatan yang tinggi, tempat pengakhirannya adalah di sisi suami dan hanya akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.




Posted by Unknown at 02:51 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 27 September 2012

SenyumlaH seInDaH sUrIA ^____^




Bak kata lirik "senyumlah senyumlah ahai cik mek molek...", ungkapan ini mempunyai makna yang mendalam dan dijadikan intipati dalam slogan- slogan dalam televisyen. Senyuman yang menawan boleh menarik sesiapa sahaja serta memikat sanubari mata yang memandang senyuman itu. 




Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya apabila kita berselisih dengan orang lain kita melemparkan senyuman, dan tidak menjadi satu kerugian pada kita apabila melakukan perkara tersebut. Kata orang, senyuman yang diberi boleh membuatkan orang lain merasa selesa dengan perwatakan kita seterusnya boleh menjadi satu titik permulaan kepada satu perhubungan yang membina sebuah ikatan persahabatan.


Secara umumya, majoriti mahasiswa/i  Universiti Pendidikan Sultan Idris ini kebanyakannya terdiri daripada pelbagai kaum, iaitu Melayu, Cina, India, dan pelajar dari luar seperti Korea dan China. Namun begitu, tidak seharusnya kita meletakkan satu tembok antara kaum yang berlainan ini. Sudah menjadi kelaziman orang kita, saya melihat kebanyakan mahasiswa/i apabila berselisih antara satu sama lain khususnya orang yang mereka tidak kenal, mereka hanya melihat begitu sahaja. Dan dalam masa yang sama apabila berjumpa dengan orang yang mereka kenal, bukan sahaja senyuman dilemparkan, malahan lebih daripada itu. Mentaliti ini seharusnya tidak sewajarnya diamalkan oleh kita sebagai bakal warga pendidik. Kita sudah sedia maklum bahawa guru itu dijadikan sebagai role model di mata masyarakat. 


#Perilaku yang ditonjolkan oleh kita mencerminkan siapa diri kita sebenar #






Posted by Unknown at 01:56 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 25 September 2012

PRK oh PRK.

Assalamualaikum.. Alhamdulillah jari ini kembali melakar bait kata buat tatapan pembaca. Budi bahasa budaya kita. Peri lambang ini begitu sinonim dengan masyarakat Melayu kita yang kaya dengan budaya ketimurannya yang menjadi kebanggaan warganegara asing khususnya. Namun begitu, situasi yang berlaku pada hari ini di Kolej kediaman Za'ba semasa Pilihan Raya Kampus agaklah mengecewakan saya sebagai seorang mahasisiwi di UPSI. 


Keadaan di kafe semasa proses mengundi hari ini dipenuhi dengan lautan penghuni Kolej Za'ba. Macam biasalah bila mestilah kena beratur untuk melicinkan proses mengundi tersebut. Mentaliti orang kita sekarang semua nak mudah dan cepat, macam itulah yang dilakukan oleh beberapa orang mahasisiwi yang memotong barisan beratur orang lain. Perkara ini tidak seharusnya berlaku jika kita mengamalkan budaya menghormati orang lain, dan tidak hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Bertepatanlah dengan slogan yang sering ditonjolkan dalam iklan di televisyen " Budi bahasa budaya kita". 


Posted by Unknown at 07:06 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 21 September 2012

Baru buat blog! ^___^

Tak kenal maka tak cinta....Selalu ja kan kita akan dengar kata- kata keramat ni...kata orang, kalau tak kenal tak tahu, tak selami tak cinta....sinonim dengan orang Melayu kita. Bak kata orang, orang Melayu ni jiwang, betul ke? Hehehe...mungkin bergantung kepada persepsi masing- masing.. 
Posted by Unknown at 07:39 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Home

Blog Archive

  • ▼  12 (25)
    • ▼  10/21 (5)
      • Guru oh Guru
      • Tidak wajar mendirikan masjid kerana berbeza fahaman
      • Saya Anak Malaysia
      • Pro dan Kontra
      • Hulurkan Tangan Ringankan Hati..
    • ►  10/14 (5)
      • Meriahnya KAB!
      • Lelaki vs Perempuan
      • Senyum oh Senyum
      • Bahasa Melambangkan Jiwa Bangsa
      • Alahai sopannya...
    • ►  10/07 (5)
      • Alahai mesranya!
      • Oh Memo!
      • Betul ke Salah?
      • Terima Kasih!
      • Sahabat, teman, kawan ~~~
    • ►  09/30 (5)
      • Semangatnya!
      • Oppa oh Oppa!
      • Salah dan Betul...
      • Di situ letaknya....
      • Kenapa Diraja?
    • ►  09/23 (4)
      • Pengunaan Bahasa SMS
      • Encik Abangku Romantik!
      • SenyumlaH seInDaH sUrIA ^____^
      • PRK oh PRK.
    • ►  09/16 (1)
      • Baru buat blog! ^___^
Unknown
View my complete profile

Pages

  • Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan, lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.
Awesome Inc. theme. Powered by Blogger.