Beberapa hari lalu saya telah pergi ke Taman Melawati bersama rakan untuk menghadiri satu perjumpaan. Tetapi apa yang saya hendak perkatakan dalam entri saya ialah situasi sewaktu dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman. Selepas menjamu selera di McDonald, saya tersentuh hati apabila melihat seorang mak cik yang boleh dikatakan sudah berusia duduk di pejalan kaki bersebelahan kedai 7eleven. Mak cik itu menjual barang makanan kering dan hanya duduk di laluan itu sambil menunggu dan mengharap agar orang yang lalu lalang itu untuk membeli barang makanan itu.
Apa yang terlintas di fikiran saya ketika itu, bagaimanakah sekiranya mak cik itu adalah saudara mara, atau ibu saya sendiri? AllahuRabbi. Sedih rasanya apabila melihat mak cik itu yang mencari rezeki sesuap nasi. Apa yang saya lihat tidak ada seorang pun ketika itu yang hendak membeli barang mak cik itu. Tiada paksaan untuk membeli, namun pada usia sebegitu, mak cik itu seharusnya berada di rumah bersama anak dan cucu di samping memperlipatgandakan amal ibadat kepada yang Maha Esa.
Di manakah anak- anak mak cik itu, tatkala ibu mereka sedang mencari rezeki untuk sesuap nasi. Saya berkesempatan bertanya kepada mak cik itu adakah beliau sudah makan atau belum, mak cik itu mengatakan belum makan, sekali lagi saya terharu dengan pengakuan mak cik itu, sedangkan ketika itu sudah lewat petang, namun belum sebutir nasi yang singgah dalam perut mak cik itu. Atas rasa simpati melihat mak cik itu, saya memberi kentang goreng yang dibeli sebentar tadi kepada mak cik itu, sekurang- kurangnya dapatlah mak cik itu mengalas perutnya. Situasi ini juga sering kali kita lihat di pasar malam, bank di mana anak-anak yatim, ibu tunggal menadah tangan untuk mendapatkan sesuatu daripada orang yang lalu.
Mata yang memandang hanya mampu melihat, namun beban yang dipikul tidak seindah yang disangka.
No comments:
Post a Comment